Teringat tajuk, teringat pula rancangan 'Jangan Lupa Lirik' di televisyen. Kita lupa bahawa azam yang kita tanam di awal tahun ini juga kita perlu ambil berat. Bukan setakat cakap di mulut. Azam itu hampir kepada janji. Kalau berjanji, janji tersebut perlulah dikotakan sebaik yang mungkin.
Walaupun hari ni sudah tiba pada pertengahan bulan Januari, masih belum terlambat untuk berbicara mengenai azam. Selalunya orang pasang azam ini pada awal tahun. Katanya agar dapat dilihat prosesnya sepanjang tahun.
Bagi saya, azam ini boleh dipasang pada bila-bila masa. Jangan kita ikut orang sahaja. Hanya berazam pada awal tahun. Itu sikap orang pemalas yang hanya suka mengikut budaya yang tak tentunya baik. Kita cipta budaya sendiri yang baik dan mampu memberi manfaat kepada orang lain.
Azam biarlah sedikit, tetapi mampu dilaksanakan dengan jayanya. Azam itu juga tidak sepatutnya bersifat keterlaluan. Keterlaluan berlaku sebabnya ialah azam kita setanding atau lebih hebat daripada orang lain. Semuanya berpunca daripada orang lain. Bak peribahasa;"Rambut sama hitam, hati lain-lain.' Lain orang, lain ragamnya. Jadi, azam bukanlah satu pertandingan atau kehebatan, ia lebih bersifat peribadi untuk mencapai sesuatu matlamat dalam hidup kita.
Apa lagi, masa masih belum terlambat untuk berazam. Yang pastinya berazam untuk menjadi manusia yang lebih berguna untuk diri sendiri, keluarga, bangsa, agama dan negara. Insya-allah. Sentiasa berdoa agar diberi kekuatan untuk berubah.
Sekian, wasalam.
No comments:
Post a Comment